Friday, September 16, 2011


NAJIB: ISA DIMANSUHKAN TERUS

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 16TH, 2011
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dimansuhkan sama sekali dan kerajaan akan memperkenalkan dua akta baru untuk mengekalkan keselamatan negara, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.Selain itu kerajaan juga mengumumkan tiga proklamasi berkenaan dengan darurat yang berkuat kuasa sejak beberapa dekad lalu akan ditamatkan.
“Seperti mana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) akan dikaji secara komprehensif.
“Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa ISA akan dimansuhkan terus,” kata beliau dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia malam ini.
Kata beliau, untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
“Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara,” kata Najib.
Perdana Menteri menambah, kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara.
“Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
“Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri,” kata beliau.
Di sudut lain, katanya, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.
Malah menurut beliau, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu.
“Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan ISA, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa,” kata beliau sambil menambah, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.
Selain itu Najib juga mengumumkan bahawa:
- Kajian semula komprehensif akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933
-  Mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan
- Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.
Kata Najib, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
Namun, katanya, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira norma-norma di peringkat antarabangsa.