Tuesday, December 21, 2010

Model baru Persona R akan dilancarkan 2 tahun lagi






Model konsep Proton Tuah dijangkakan sebagai model Persona R
Salah satu model yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan peminat Proton dan rakyat Malaysia secara amnya, model pengganti Proton Persona atau dikenali sebagai Persona R bakal membuat kemunculan pada tahun 2012. Produksi model terbaru dari Proton itu telah disahkan sendiri oleh Pengarah Urusan Proton Holdings Berhad, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir bahawa pengeluaran model itu akan berdasarkan salah satu model konsep 5 Pahlawan Bersaudara yang dipamerkan di KLIMS 2010 baru-baru ini.
Model Persona R merupakan sebuah sedan bagi menggantikan model Persona yang akan tiba hayat penamatnya pada tahun 2012 nanti apabila polisi terbaru Proton untuk mengeluarkan kereta baru bagi setiap tempoh 5 tahun. Cuma persoalannya kini ialah adakah model konsep Proton Tuah itu merupakan bayangan kepada Persona R? Jika bukan Proton Tuah, atau nama rasminya ketika ini Proton Espire, model manakah lagi yang sesuai menggantikan model Persona di kalangan kelima-lima kereta konsep tersebut?

Berita Buletin Utama TV3 berkenaan Persona R
Persona R dikatakan mendapat sentuhan Italdesign-Giugiaro SpA dari Itali dan bakal hadir dengan reka bentuk bercirikan global, bukan lagi bersifat tempatan. Menurut Datuk Syed Zainal, pengeluaran model Persona R akan mengambil kira kos bahan api serta pengurangan pelepasan karbon dioksida (CO2), sesuai dengan hasrat menjadikan produk tersebut untuk kedua-dua pasaran tempatan dan antarabangsa. Setakat ini kerja-kerja pengeluaran sedang dijalankan dan model terbaru itu tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan Mitsubishi Motors Corporation (MMC).
Sementara itu, syarikat vendor Proton yang membekalkan sistem tingkap elektronik Tier-1 PROTON, AutoV Corporation Bhd akan membangunkan tingkap elektronik ‘anti-trap’ menggunakan teknologi terkini Continental AG, yang akan dipasang untuk model terbaru Persona R. Sehubungan dengan itu, AutoV Corporation Bhd telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Continental Automotive Systems (Shanghai) Co Ltd dan ArvinMeritor LVS Co Ltd di Shah Alam pada 16 Disember yang lalu.

No comments:

Post a Comment